Monday 23 April 2012

Aku Dan Sinus

Sinus, tak ramai orang tau mengenainya. Biasanya dikalangan masyarakat melayu kita sinus dikenali sebagai resdung. Aku tidak mempunyai sejarah resdung malah tidak pernah menduga aku akan mengalami masalah ini.

Awal march 2012, aku telah melawat Shanghai yang pada ketika itu masih musim dingin hingga mencecah 4°C. Terlalu sejuk untuk orang melayu seperti aku. Seminggu disana telah membuat aku dijangkiti demam selsema yang berpanjangan sehingga aku kembali ke malaysia. Siapa duga itu permulaan kepada masalah sinus aku.

Selepas lebih sebulan aku demam selsema dengan batuk yang berlarutan, atas nasihat teman baikku, aku mendapatkan rawatan dari Hospital Pantai Klang. Hasil pemeriksaan dan keputusan x-ray mendapati terdapat polyps di pipi kiriku. Dan bermula la sejarah dalam hidup aku dimana aku dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan rapi.

Kos rawatan di hospital swasta biasala mesti mencecah angka ribuan ringgit. Nasib baik ada insuran cover bolehla aku mendapatkan rawatan. 

Pada awalnya doktor mengatakan aku hanya perlu jalani rawatan suntikan antibiotik untuk menghilangkan polyps selama 2 atau 3 hari, aku bersetuju. Maka masukla aku ke hospital dengan penuh semangat. Aku nyatakan pada kawan-kawan pejabat aku bercuti selama 3 hari.

Hari pertama di hospital aku diberi rawatan suntikan antibiotik. sejarah dalam hidup aku bila tangan aku dipasang jarum. Aku tidak pernah masuk wad selama ini melainkan melawat orang sakit. Sakit rupanya apabila tangan ditembusi jarum. Suntikan pertama antibiotik buat aku lena pada malam pertamaku di wad, bilik A29.

Hari ke 2 bermula dengan keputusan scan kepala aku yang telah dianalisa oleh doktor pakar ENT, doktor Raj. Polpys yang terhasil dari pengumpulan kahak dan nanah yang terperangkap dalam rongga pipi kiri aku adalah punca sakit kepala yang menyerang aku selama ini. Nasib baik ia belum menyerang tulang pipiku, jika itu berlaku mungkin aku ......

Doktor telah mengesyorkan aku untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan polyps tersebut melalui rongga semulajadi di dalam hidung. Terdiam sejenak aku, berfikir. Aku mendengar mitos sesiapa yang menjalani pembedahan sinus akan kehilangan deria bau. Segera ku ajukan pertanyaan pada doktor tentang kemuskilanku. Namun doktor telah menyakinkan aku bahawa pembedahan itu tidak akan menjejaskan deria bau ku.

Aku telah diarahkan berpuasa bermula jam 12 malam sebelum menjalani pembedahan keesokan harinya.

Hari ke3 aku dikejutkan oleh doktor Raj yang mengejutkan aku supaya bersedia untuk menjalani pembedahan. Aku diarahkan mengenakan baju hospital yang seksi. Alamak malunya aku. Misi telah mengingatkan aku bahawa didalam bilik bedah nanti semuanya akan dibuka. Malunya. Tertanya-tanya kenapa perlunya dibuka semua. Namun apa daya berserah ajela.

Sebelum aku dihantar ke bilik bedah aku telah disuntik dengan ubat penenang. Alhamdulillah memang tiada debar dihati walaupun ini kali pertama aku menjalani pembedahan. Rasa macam olok-olok jer bagi aku. 

 9.00 pagi, aku disorong ke bilik bedah dalam keadaan waras. Malu rasanya disorong dalam keadaan begitu, rasa seolah-olah satu dunia merenung aku bila aku melintasi beberapa pelawat.

Akhirnya aku sampai di bilik bedah, Operation Room 1. Badan aku dipindahkan ke atas katil bedah dengan kepala mendongak ke arah lampu. Apabila bius oksigen dilekapkan pada hidungku maka kelam la dunia. 

Arghhhh..tolong..i need some water..itula ayat pertama yang aku tuturkan apabila aku terjaga. Tekakku sungguh kering dan dahaga. Idungku telah disumbat dressing dan dibalut. Aku terpaksa bernafas mengunakan mulut yang dalam masa yang sama penuh dengan bendalir darah.

Aku hanya mampu meronta menahan pedih kerongkong dan kesukaran untukku bernafas. Tekakku terlau kering dan terasa rongga mulutku terlalu sempit. Permintaan ku untuk mendapatkan sedikit air hanya dibalas dengan beberapa titis air tidak cukup untuk aku membasahkan tekakku. Paramedik bimbang aku akan muntah jika diberi banyak air. Ku toleh kiri kanan, jam menunjukkan jam 12.30. Lama juga aku tidak sedarkan diri. Seketika duniaku kembali kelam.

Aku disorong kembali ke wad A29 dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Jam 3 ptg aku sedar kembali dalam keadaan mamai dengan darah meleleh keluar dari hidungku. Sukarnya aku ingin bernafas dalam keadaan ini. Tekak mula meminta air. Ku gagahkan tangan untuk mencapai air mineral di meja berhampiran katil. Air yang mengalir membasahi tekak ku yang kering meninggalkan rasa perit. Itula kesan gas yang dialirkan masuk untuk membantu pernafasan aku semasa pembedahan. 

Sejam kemudian doktor Raj hadir untuk memantau keadaanku. Alhamdulillah semua polyps telah berjaya dikeluarkan. Aku diarahkan untuk minum dan makan. Bagaimana untuk kelakukannya sedangkan aku bernafas mengunakan mulut. Ku telan makanan pertamaku hari itu roti bersama air milo dengan penuh kepayahan. Aku hilang deria rasa, hidungku membengkak akibat dressing yang masih ada dalam hidungku.

Hari itu ku habiskan dengan lena mengiring menyaksikan bantalku penuh dengan bendalir merah kental yang keluar dari hidungku. Doktor mengesahkan lelehan merah itu adalah normal selepas pembedahan. Semua polyps sudah berjaya dibersihkan dari pipiku. Aku akui tiada lagi kesakitan pada tulang pipiku.

Hari ke4 di hospital iaitu hari ke2 pembedahan, doktor telah mengejutkan ku dari lena untuk mengeluarkan dressing dari dalam hidungku. Aduh sakitnya tuhan yang tahu apabila dressing tersebut dikeluarkan dari hidung. Aku terpaksa menelan darah yang masuk kedalam tekak ku dari rongga hidung. Akhirnya dressing berjaya dikeluarkan. Lega rasanya apabila aku kembali dapat bernafas melalu hidung.

Aku melalui hari ke2 selepas pembedahan dengan menjadi OKU apabila aku tidak dapat mengerakkan anggota badanku. Aku lumpuh seharian akibat kesan bius. Itu normal kata doktor untuk merehatkan badanku. Barula aku memahami erti kesukaran OKU untuk bergerak. Terasa sedih sangat bila tidak dapat berbuat apa-apa hanya mengharapkan bantuan dari misi.

Hari ke3 selepas pembedahan aku sudah boleh mengerakan kaki tangan dan anggota badan yang lain. Alhamdulillah. Namun kelumpuhan yang berlaku pada aku mengundang kemuskilan pada pakar bius hospital kerana kebiasaannya pesakit tidak akan mengalami kelumpuhan dalam masa yang panjang. 

Sekali lagi aku terpaksa menjalani pemeriksaan darah untuk mengesan tindak balas jantung dan buah pingang aku kepada kesan bius. Aku juga terpaksa menjalani rawatan ECG untuk mengesan ketidaknormalan pada jantung aku. Alhamdulillah hasil pemeriksaan semuanya Ok. Menjelang malam aku sudah boleh berjalan walaupun masih terdapat kesakitan pada otot-otot kaki dan badanku.

Hari ke 6 iaitu esok, aku akan dibenarkan keluar dari hospital. Yes merdeka. Sekelip mata sahaja rasanya aku menjalani pembedahan dan tersadai di wad. Harap selepas ini sinus tidak lagi berulang kepada aku tetapi entahla, dengan keadaan persekitaran kita yang tercemar tidak mustahil aku akan menjalani pembedahan ini kali ke 2.

Mesti ramai sahabat yang menderita sinus atau resdung diluar sana memilih untuk mendapatkan rawatan tradisional. Bermacam-macam kaedah amalam turun temurun untuk merawat resdung. Tapi bagi aku yang tetiba jer termasuk ke wad dan terbedah, aku rasa cara ini pun bagus untuk mengeluarkan polyps yang terperangkap dalam rongga muka kita. 

Rawatan tradisional belum tentu dapat menjamin polyps itu keluar sepenuhnya dari rongga muka kita samada hidung, dahi atau pipi. Ia juga tidak menjamin kita akan bebas dari sinus. 

Oleh itu kalau sahabat mengalami masalah selalu bersin, alahan, sakit kepala dapatkan rawatan segera kerana sinus boleh menyerang tulang muka dan boleh menyerang otak kita jika tidak dirawat segera. Ini kerana diantara muka dan otak hanya terdapat satu lapisan tulang sahaja. jadi bayangkan jika tulang tersebut diserang sinus.

Jika ada kelapangan aku akan cuba post maklumat-maklumat mengenai sinus untuk dikongsi bersama sahabat.

Jam 1.38 pagi, 23 April 2012
Wad A29
Hospital Pantai Klang