Wednesday 2 October 2013

CINTA MAN&MINA : Part 2

Mungkinkah bersatu..

Sudah bertahun rasanya aku tidak bercerita mengenai sahabat baik aku, MAN. Sahabat baik yang kini sudah menjadi lebih dari sekadar teman biasa atau lebih tepat aku gelarkan dia sebagai ‘laki angkat aku’.

Masa terus berlalu sejak perkenalan kami. Keakraban yang memutikkan rasa cinta dan setia yang tidak berbelah bahagi pada MAN yang ku panggil Lowkong. Aku sendiri tidak menyedari sejak bila rasa cinta berputik di hati menyemarakkan rasa sayang. Tapi aku pasti rasa ini hadir bukan kerana aku simpati pada nasib dia. Aku jatuh cinta kerana dia itu MAN.

Jika dulu ku hebahkan pada dunia dialah sahabat terbaik aku, sekarang ingin sekali ku hebahkan bahawa dialah cinta hati aku. Cinta yang ku kenang sampai mati, cinta yang ku miliki, cinta yang membahagiakan hati namun takdir Allah mungkinkah cinta ini bersatu.

Pada Dia yang Satu, aku selalu bertanya selalu merintih kenapa hadirkan cinta ini dalam hatiku sedangkan aku tahu MAN tak mungkin akan menjadi ‘imam’ku.
Allah memberiku jawapan di saat hatiku menangis, ku mengerti cinta ini hadir kerana dia yang bernama MAN selayaknya merasa apa itu bahagia. Bahagia yang dia tidak pernah kecapi sepanjang umurnya. Bahagia adalah satu rasa yang dia tak pernah terfikir akan hadir dalam hidupnya. Bahagia adalah satu rasa yang dia ketepikan untuk insan-insan kecil yang perlukan dia.

MAN, 6 bulan jangkaan seorang doktor untuk riwayatnya di muka bumi Allah, tapi itu 4 tahun yang lalu. Kuasa Allah siapakah dapat menidakkannya, MAN masih bernyawa sehingga hari ni walaupun terpaksa mengheret dada. Allah sangat sayangkan MAN dengan memberi ujianNya yang belum tentu insan biasa seperti ku mampu menhadapinya.

Masa berganti masa, kesakitan man makin parah bila 'blood poison' mula menyerang semua organ dalaman dia. 'Blood poison' yang terhasil akibat kebocoran darah pada salur darah utama dia. Apa yang dirisaukan jika 'blood poison' menyerang otaknya. Apakah yang akan berlaku? 

Namun ketabahan dia mengatasi segala. Setiap hari man tak jemu mencari penawar sakitnya demi aku. Siapa tahan setiap hari terpaksa telan lebih 30 biji pil untuk teruskan hidup. Yang mana akhirnya ubat tu tak lagi memberi kesan pada dirinya.

10hb May 2013, man diserang sakit kepala yang teruk, aku sempat mendengar raungan kesakitan dia. Niat dihati ingin memberi khabar kematian adik tersayang namun tak sempat ku khabarkan dia sudah tak sedarkan diri. Akhirnya 'blood poison' menyerang otak man.

3 hari kemudian baru man sedarkan diri, tapi yang sedar tu adalah jasad yang tanpa memory. Allah hebatnya dugaanMu. Segala-gala yang man ada Allah ambil kembali nikmatNya. Yang tinggal pada man hanya 1 wajah, wajah yang buat man tertanya-tanya siapa pemilik. Wajah yang langsung man tiada memory mengenai empunya.

Sebulan lebih man hilang dari aku, mencari dirinya yang sampai hari ni man gagal temui. Hanya apabila jarinya mula menyentuh bb, seraut wajah itu terpampang didepan matanya. Itulah wajah yang ada dalam hatinya, wajah aku.

Mesej pertama ku terima ucapan salam yang kemudian disertai dengan pengakuan, 'maaflah sy tak ingat siapa awak, tapi wajah awak ada dalam mimpi sy'. Peritnya hati hanya tuhan yang maha mengetahui. 

Sebak hati bila mengetahui doa man sebelum dia hilang segalanya dari seorang teman,'Ya Allah, aku rela hilang segalanya, namun jangan kau hilangkan wajahnya dari hatiku'.

Adakah kerana ini ya Allah, Kau makbulkan permintaannya?. Syukur ya Allah, walaupun kau ambil semua nikmatMu darinya, kau masih kekalkan wajahku dalam hatinya.

Sedar tak sedar sudah hampir 5 bulan man hilang memory. Setiap hari bertanya siapakah dirinya. Semua perkara adalah perkara baru yang membingungkannya saban waktu. Hanya mereka yang mempunyai kesabaran tahap 'dewa' mampu tangani dia.

Satu demi satu kesakitan melanda dirinya. Akibat pengambilan ubat dalam jangkamasa yang lama, man disahkan pula mengalami ulser peptic, kebocoran usus akibat penipisan. Allah, hebatnya dugaanMu.

Setiap hari aku menghabiskan masa menemani man dari jauh. Melayan setiap kerenah dan pertanyaan dia. Man menjadi seolah-olah seperti anak kecil yang sentiasa bertanya ingin mengetahui sekitaranya. Bukan mudah untuk menjelaskan pada dia semua perkara termasuk sakit apa yang ditangungnya. Sebak hati mendengar rintihannya setiap hari. 

No. pertama yang man ingat adalah angka 8. 8 disember....8 disember tarikh kelahiran ku. Tanggal kelahiran dia, dia lupa pula. No. 22..No. rumahku. Sedikit demi sedikit man mengingati semuanya hanya berkait dengan memory bersama ku.

Banyak jiwa yang luluh dengan keadaan man. Airmata yang menitis mencairkan ego lelaki apabila sahabat sejati mereka gagal mengenali mereka, nama mereka pun tiada dalam memory man inikan pula kenangan bersama. Bukan hanya aku yang merintih rupanya, ada lagi insan sedarah meraung dari kejauhan dibumi asing.

Dimana jua man berada sekarang itulah tempat terbaik untuk dia, jauh dari dunia yang melukakan. Moga alam semulajadi memberi keajaiban pada dia dengan izin Allah. Setiap takdir yang Allah sudah aturkan itu yang terbaik. Pasti ada hikmahnya mengapa Kau takdirkan begitu untuk manusia yang bernama man.

Aku hanya mampu berdoa, moga hati ini diberi kekuatan untuk terus kekal disisi dia hingga akhir nafasnya. Semua adalah ketentuanMu ya Allah, ajal maut jodoh pertemuan, semua sudah Kau aturkan. Aku sebagai hambaMu, terpaksa menerima dengan redha.

*'Ya Allah, kembalikanlah ingatan Man, tak sanggup aku melihat derita orang sakit yang tak tahu apa sakitnya. Ya Rahman Ya Rahim, berilah keajaibanmu untuk dia, sembuhkan segala kesakitannya, Andai sudah tiba masanya, permudahkan bagi dia. Allah jaga kan dia'.


MAN&MINA




No comments:

Post a Comment