Thursday 27 October 2011

Cinta Si Biskut Tawar

Cinta itu terlalu subjektif. Macam2 pengertian tentang cinta yang kita dengar. Aku sendiri masih tercari-cari apakah makna cinta. Cinta itu ketawa dan airmata. Betulkah? Kerana cinta manusia sanggup lakukan apa sahaja. 

Cinta pertama aku masih kekal sebagai cinta yang satu dihati aku. Dunia bercerita tentang kebodohanku mengapa aku membiarkan diri terus dilukai tetapi itu lah penangan cinta. Hati bisa memaafkan  walau seringkali terluka. Sejauh mana aku melarikan diri, semakin ia menghampiri, saban waktu bersamaku tetapi jodoh itu tuhan tentukan. Hati pasrah menerima hakikat mencintai tidak semestinya memiliki.

Cinta yang hadir selepas itu datang dan pergi pantas berlalu mengikut masa. Cinta hadir menagih ruang dihati walau peluang diberi tapi hanya untuk seketika. Seminggu 2 minggu sebulan dan kemudian hati mula berkira-kira bagaimana untuk melepaskan diri. Alasan yang mudah, kalau berjodoh pasti bersatu. Tidak ada jawapanyang lebih tepat dari itu untuk meleraikan sesuatu ikatan.

Kadang-kadang bila hati berkira-kira untuk pergi, tuhan sudah pun izinkan ia berlaku. Aku lebih suka ditinggalkan dari aku yang melafazkan kata perpisahan. Adil bukan, sekurang-kurangnya bukan aku yang memutuskan cinta. 

Temanku bertanya, mengapa dirimu tidak menangis sedangkan aku biasa lihat orang yang putus cinta mengalirkan airmata dan putus asa. Jawapan ku mudah, aku sudah penat menangis pada kebodohanku kerana cinta masa lalu. Mungkin ada titis airmata yang gugur tetapi itu bukan kerana kesedihanku tetapi kerana kebodohanku.

Orang-orang disisi sudah biasa melihat ku bertukar-tukar cinta, aku dikata pemain lelaki, 'playgirl'. Benarkah? Aku bukan pemain cinta, aku mencari cinta, cinta yang ikhlas yang menerima aku seadanya aku. Aku mencari cinta dari mata seseorang yang mengatakan dia mencintai aku. Aku mencari cinta pada kesungguhan seorang laki2 bila dia melafazkan cinta.

Ibuku sudah tidak ingin bertanya siapakah teman lelaki anaknya. Ibu amat mengenali anaknya yang tidak pernah kekal dalam cinta. Anak ini mengerti kerisauan ibu tetapi anakmu ini belum temui cinta yang dia inginkan. Hati si ikan puyu kata ibu, hati yang tidak tetap pendirian. Anakmu tidak berpendirian dalam cinta tetapi bukan dalam hidup. Dalam mengejar cita-cita dan amanat seorang ayah, anakmu pernah melepaskan cintanya dulu, cinta pertamanya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan ayah tidak silap dalam percaturannya.

Saban waktu dimana aku berada kemana kaki melangkah persoalan jodoh kerap menyapaku hingga aku muak untuk menjawab. Jiran saudara sinis menyindir ibu, anakmu tidak laku kah?, tercalar hati ibu kerananya. Maafkan aku ibu, anakmu belum temui cinta untuk dihadiahkan kepada ibu sebagai menantu. 

Tidak kurang pula yang mengatakan aku 'demand', aku memilih. Aku bukan memilih, aku tidak pernah kisah sesiapa pun yang cuba hadir disisi. Aku beri peluang kepada sesiapa pun untuk menyatakan cinta, aku beri waktu untuk mereka berada disisiku. Salahkah aku seandainya aku tidak mampu meneruskan lagi hubungan bila tiada cinta dihati.

Istilah biskut tawar adalah nama yang diberi oleh sahabatku, teman terbaikku. Dunia mengatakan dia mencintai aku,benarkah? Dia pasti ketawa bila isu cinta dibangkitkan hingga aku tertanya-tanya benarkah dia mencintai aku. Airmata dan ketakdayaannya tanda cinta dan aku mengerti cintanya.  Aku tidak akan pernah lupa kata-katanya "dia akan bahagia asalkan aku bahagia", begitulah dia menzahirkan cinta padaku. Terima kasih kerana jadi teman yang baik serta sanggup berkorkan untukku tanpa mengharapkan balasan.

Aku pohon sejuta kemaafan kepada insan-insan yang pernah hadir dalam hidupku. Aku berdiam diri bukan kerana aku lupa, tetapi beri waktu pada mereka untuk lupakan aku. Kepada sang serigala yang berjaya membuka pintu hatiku buat seketika, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidupku. Aku gagal mencari cinta pada sinar matamu.

Jikalau dahulu si biskut tawar tidak pernah jemu mencari cinta. Saban waktu ada sahaja cinta menyapa. Si biskut tawar sudah penat mencari keihklasan cinta dan membandingkan cinta-cinta yang hadir dengan cinta pertama. Biarlah tuhan mencaturkan apa yang terbaik untukku. Mungkinkah cinta pertama dapat aku memiliki namun yang pasti aku bahagia punya cinta seorang teman.



No comments:

Post a Comment